Popular Posts

Monday 13 February 2012

Hikayat Awang Kamaruddin

Hikayat Awang Kamaruddin: sinopsis dan peristiwa-peristiwa penting

BAB 1: Khabar Keelokan

Sinopsis
Bab 1 mengisahkan Lamang Labai yang merebut Dang Kasuma yang sudah bertunang dengan Anggayan Damit. Lamang Labai merupakan seorang pemuda yang berilmu, gagah, berani dan pernah berguru kepada Raja Jin Tujuh Seperadian di Gadung Batu di Bukit Si Guntang. Lamang Labai melarikan Dang Kasuma ke istananya yang terletak di Bukit Sinarubai. Walaupun sudah dipujuk oleh orang-orang tua, Lamang Labai tetap dengan keinginannya untuk memperisterikan Dang Kasuma. Anggayan Damit telah mencabar Lamang Labai untuk beradu kekuatan, yang menang akan memiliki Dang Kasuma. Akhirnya Lamang Labai berjaya mengalahkan Anggayan Damit. Lamang Labai memperisterikan Dang Kasuma. Mereka mempunyai dua orang anak. Anak lelaki bernama Awang Kamaruddin dan perempuan bernama Dang Kumala.


Peristiwa-peristiwa Penting:


1. Lamang Labai berguru kepada Raja Jin Tujuh Seperadian di Gadung Batu di Bukit Si Guntang
2. Lamang Labai mendengar khabar dari kawan-kawannya, ada seorang gadis yang tidak berbanding kecantikannya.
3. Lamang Labai melarikan Dang Kasuma, tunang Anggayan Damit
4. Orang-orang kampung Dang Kasuma cuba memujuk Lamang Labai supaya memberikan Dang Kasuma
5. Lamang Labai meyakinkan orang-orang kampung Dang Kasuma yang ia ingin memperisterikannya.
6. Orang2 kampung mengkhabarkan kepada Anggayan Damit, tunang Dang Kasuma
7. Lamang Labai berperang dengan Anggayan Damit
8. Lamang Labai berjaya membunuh Anggayan Damit
9. Anggayan Damit berwasiat supaya Lamang Labai menamakan anaknya Awang Kamaruddinjika lelaki dan Dang Kumala jika perempuan.
10. Dang Kumala meminta Lamang Labai membunuhnya
11. Lamang Labai membunuh Dang Kumala
12. Lamang Labai mengahwini Dang Kasuma
13. Lamang Labai dan Dang Kasuma memperolehi zuriat, lelaki bernama Awang Kamaruddin dan perempuan bernama Dang Kumala.


Bab 2: Melihat Dalam Kesaktian


Sinopsis


Bab 2 mengisahkan Awang Kamaruddin yang ingin merebut Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa, tunang Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti di negeri Jawa. Ibunya Dang Kasuma berusaha melarang kemahuan Awang Kamaruddin kerana Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa sudah bertunang. Namun Awang Kamaruddin beralasan bahawa dia sengaja merebut Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa supaya dapat berperang dengan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti yang terbilang handal, bertapa di Bukit Si Guntang-Guntang dan diasuh oleh Tuan Puteri Si Raksasa sejak kecil. Dang Kasuma terpaksa merestui keinginan Awang Kamaruddin dan memberikan persalinan yang diwasiatkan oleh ayahnya, Lamang Labai.


Peristiwa-peristiwa Penting.


1. Awang Kamaruddin berguru kepada Raja Jin seperadian
2. Awang Kamaruddin dapat tahu bahawa Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa akan dikahwinkan dengan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti
3. Awang Kamaruddin mengarahkan Si Timbul dan Si Kabul memanggil Awang Sukaim dan Si Bujang Laila Bongsu untuk meminta bantuan.
4. Awang Kamaruddin pulang ke Panggau Tujuh Gading, untuk meminta izin ibunya.
5. Dang Kasuma melarang Awang Kamaruddin mengahwini Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa kerana sudah bertunang
6. Awang Kamaruddin menjelaskan memang dia berniat untuk merampas supaya dapat berperang
7. Awang Kamaruddin berhias dengan persalinan peninggalan ayahnya
8. Awang Kamaruddin memberitahu Dang Kumala tentang niatnya
9. Dang Kumala menyokong dan menasihati supaya berhati-hati


Bab 3: Berajung Ke Negeri Jawa


Sinopsis


Bab 3 mengisahkan bermulanya tindakan Awang Kamaruddin merebut Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa. Dia pergi ke Jawa menggunakan perahunya yang bernama Si Lancang Kuning Naga Sakti, ditemani oleh sepupunya iaitu Awang Sukaim dan Si Bujang Laila Bongsu. Tiba di Jawa, mereka disambut oleh Raja Muda Indera Bongsu. Penghuni Istana tidak mengetahui maksud kedatangan Awang Kamaruddin. Awang Kamaruddin berjaya memujuk Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa dengan ilmu guna-guna sehingga Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa menyukainya. Perbuatan Awang Kamaruddin telah disedari oleh Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti yang sedang bertapa di Bukit Si Guntang-Guntang. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti memohon kebenaran dari Tuan Puteri Si Raksasa untuk ke negeri Jawa menentang Awang Kamarudin.


Peristiwa-peristiwa Penting:


1. Awang Kamaruddin, Awang Sukaim dan Si Bujang Laila Bongsu pergi ke negeri Jawa, menaiki ajung Si Lancang Kuning Naga Sakti.
2. Raja Muda Indera Bongsu menyambut kedatangan Awang Kamaruddin, Awang Sukaim dan Si Bujang Laila Bongsu di Anjung Pembujangan.
3. Awang Kamaruddin menemui Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa dengan menyamar suara Raja Muda Indera Bongsu
4. Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa pengsan bila melihat Awang Kamaruddin yang datang
5. Awang Kamaruddin menggunakan kesaktiannya sehingga Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa sedar dan suka kepadanya
6. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti menerima gerak alamat tidak baik
7. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti melihat melalui kesaktiannya seorang lelaki sedang mendatangi tunangnya
8. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti memberitahu Tuan Puteri Si Raksasa apa yang dilihatnya
9. Tuan Puteri Si Raksasa mengarahkan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti pulang ke negeri Jawa
10. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti menjadi Lalat Kuning terbang ke negeri Jawa


BAB 4: Mandi Berlangir


Sinopsis


Bab 4 mengisahkan pada esok paginya, pengantin bersiap-siap untuk disandingkan. Tuan Puteri Permaisuri Intan Mas Surai menyuruh Awang Kamaruddin dan Raja Muda Indera Bongsu memandikan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa. Semasa memandikan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa, Awang Kamaruddin telah mengambil kesempatan untuk menggunakan ilmu guna-guna ke atas Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa. Awg Kamaruddin tidak menggunakan langir yang telah disediakan tetapi menggunakan langgir pertapaan ayahnya. Raja Muda Indera Bongsu menyedari perbuatan Awang Kamaruddin untuk memikat hati Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa


Peristiwa-peristiwa Penting:


1. Tuan Puteri Permaisuri Intan Mas Surai menyuruh Awang Kamaruddin dan Raja Muda Indera Bongsu memandikan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa
2. Awang Kamaruddin dan Raja Muda Indera Bongsu memandikan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa
3. Awang Kamaruddin menggunakan Penududh Burung untuk menawan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa
4. Raja Muda Indera Bongsu mengetahui yang Awang Kamaruddin ingin merebut Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa


BAB 5: Di Panggau Penganggunan


Sinopsis


Bab 5 mengisahkan majlis perkahwinan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti dengan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa. Raja Muda Indera Bongsu mempersilakan Awang Kamaruddin untuk menjalankan upacara menapakkan. Awang Kamaruddin berpura-pura menapakkan tapak tangan pengantin lelaki ke ubun-ubun pengantin perempuan. Semasa menapakkan itu, Awang Kamaruddin telah melapis tapak tangan pengantin lelaki dengan jari manisnya, maka yang menyentuh ubun-ubun pengantin perempuan bukan kulit pengantin lelaki tetapi kulit Awang Kamaruddin. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti menyedari Awang Kamaruddin ingin merebut Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa, lalu berlakulah perperangan antara Awang Kamaruddin dan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti serta pengikut masing-masing.


Peristiwa-peristiwa penting:


1. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti tiba di negeri Jawa.
2. Awang Kamaruddin, Raja Muda Indera Bongsu, Awang Sukaim dan Si Bujang Laila Bongsu menyambut kedatangan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti.
3. Raja Muda Indera Bongsu mempersilakan Awang Kamaruddin menapakkan pengantin.
4. Awang Kamaruddin berpura-pura menapakkan tangan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti ke ubun-ubun Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa, jari manisnya melapisi tapak tangan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti.
5. Awang Kamaruddin mendudukkan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti di sebelah kiri Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa.
6. Awang Kamaruddin duduk di sebelah kanan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa.
7. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti marah kerana Awang Kamaruddin mendudukkannya di tempat yang salah.
8. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti menuduh Awang Kamaruddin hendak merebut isterinya.
9. Awang Kamaruddin mengakui yang dia ingin merebut Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa.
10. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti mengamuk menikam Awang Kamaruddin tetapi tidak kena.
11. Awang Kamaruddin dan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti meneruskan perang di Bukit Perhentian.
12. Awang Sukaim dan Si Bujang Laila Bongsu menyambut serangan pengikut Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti.
13. Awang Kamaruddin dan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti meneruskan perang di Gunung Mega Berangkat.
14. Awang Kamaruddin dan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti meneruskan perang di Bukit Tunan.
15. Awang Kamaruddin dan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti meneruskan perang di Gunung Maha Biru.
16. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti meminta rehat kerana dahaga.
17. Awang Kamaruddin bersetuju dan pergi mencari air.
18. Awang Kamaruddin dan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti meneruskan perang.
19. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti meminta rehat kerana dahaga.
20. Awang Kamaruddin bersetuju dan menyuruh Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti mencari air namun tidak terjumpa.
21. Awang Kamaruddin membuat kolam palsu menggunakan keris saktinya.
22. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti cuba meminum tetapi gagal.
23. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti menjilat lebihan air di tapak tangannya lalu menjadi kuat.
24. Awang Kamaruddin menghentakkan kakinya, isyarat meminta bantuan adiknya di Bukit Sinarubai.


BAB 6: Gerak Panggilan.


Sinopsis


Bab 6 mengisahkan adik Awang Kamaruddin, Dang Kumala mengumpulkan sanak-saudara untuk membantu abangnya berperang di Jawa. Mereka dengan kuasa sakti bertukar menjadi berjenis-jenis burung dan terus terbang menuju ke negeri Jawa. Setiba di Jawa mereka terus berperang dengan pengikut-pengikut Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti. Kemudian, Dang Kumala bersama Dang Bongsu pergi ke Bukit Si Guntang-Guntang, tempat pertapaan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti dan Tuan Puteri Si Raksasa, untuk mengambil Anak Batu pertapaan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti. Dengan batu inilah mereka kemudian membantu Awang Kamaruddin mengalahkan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti. Batu itu digunakan untuk mengasah mata keris Awang Kamaruddin dan akhirnya Awang Kamaruddin berjaya membunuh Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti, namun dihidupkannya semula. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti mengaku kalah dan membenarkan Awang Kamaruddin memperisterikan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa.


Peristiwa-peristiwa penting:


1. Dang Kumala juga pernah menuntut ilmu kepada Raja Jin tujuh seperadian. Kemudian dia mendapat gerak panggilan lalu melihat dalam kesaktian bahawa Awang Kamaruddin sedang berperang.
2. Dang Kumala bersama sepupunya Dang Siti Noralam, Dang Siti Kumala Indera Sakti, Dang Dara, Dang Darni, Dang Bongsu dan Dang Indah Bulan.
3. Si Timbul dan Si Kabul memanggil Awang Abdul Kaim, Awang Abdul Mumin, Awang Si Mutaram, Awang Bongsu Adun, Awang Abdul Fakar, Awang Abdul Kunchang dan Awang Bongsu Sukaim.
4. Dang Kumala bersama 14 orang sepupunya membunuh semua pengikut Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti.
5. Dang Bongsu dan Dang Kumala pergi ke Bukit Si Guntang-Guntang, mengambil Anak Batu pertapaan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti. Tuan Puteri Si Raksasa tidur di siring Batu Pertapaan.
6. Dang Bongsu dan Dang Kumala ke Gunung Maha Biru mendamaikan Awang Kamaruddin dan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti.
7. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti mahu berdamai jika Dang Bongsu mencarikannya pengganti dan Dang Bongsu mahu jadi pengganti tetapi kemudian Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti tidak mahu berdamai kerana berasa malu jika mengaku kalah.
8. Dang Kumala memukau Awang Kamaruddin dan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti, lalu mengambil keris Awang Kamaruddin dan mengasahkannya pada Anak Batu pertapaan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti.
9. Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti merasa sejuk dan gerak umur datang lagi kepadanya.
10. Dang Kumala menyuruh mereka berperang semula. Dan akhirnya Awang Kamaruddin berjaya membunuh Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti.
11. Kemudian Awang Kamaruddin menghidupkan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti yang akhirnya mengaku kalah dan sudi menyerahkan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa.




BAB 7: Mulih ke Negeri Timur


Sinopsis


Bab 7 mengisahkan setelah selesai berperang, Awang Kamaruddin kembali ke istana negeri Jawa. Dia disambut oleh Tuan Puteri Permaisuri Intan Mas Surai, kemudian Tuan Puteri Permaisuri Intan Mas Surai bertanyakan khabar Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti. Awang Kamaruddin menjelaskan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti selamat, dihidupkannya semula dan sudah pulang ke negerinya. Hiduplah Awang Kamaruddin bersama Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa dengan bahagia. Tidak berapa lama kemudian, Awang Kamaruddin membawa Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa pulang ke negeri Timur. Raja Muda Indera Bongsu ikut pulang untuk meminang Dang Kumala.


Peristiwa-peristiwa penting:


1. Awang Kamaruddin kembali ke Istana Besar negeri Jawa setelah berperang di Gunung Maha Biru.
2. Awang Kamaruddin menjumpai isterinya dan Tuan Puteri Permaisuri Intan Mas Surai.
3. Tuan Puteri Permaisuri Intan Mas Surai sedih dengan kematian Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti.
4. Awang Kamaruddin menjelaskan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti telah dihidupkannya kembali.
5. Awang Kamaruddin membawa Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa pulang ke Bukit Sinarubai.
6. Raja Muda Indera Bongsu turut ke Bukit Sinarubai hendak meminang Dang Kumala.
7. Awang Kamaruddin, Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa dan Raja Muda Indera Bongsu tiba di Bukit Sinarubai.


BAB 8: Meminang ke Bukit Surau


Sinopsis


Bab 8 mengisahkan Awang Kamaruddin berhasrat untuk memenuhi keinginan ibunya sejak Awang Kamaruddin kecil lagi, iaitu untuk menjodohkan Dang Siti Noralam yang tinggal di Istana di Bukit Surau dengan Awang Kamaruddin. Dang Siti Noralam telah merajuk dan melarikan diri ke hulu negeri Jawa. Awang Kamaruddin meminta Awang Sukaim dan Si Bujang Laila Bongsu untuk menemaninya ke sana. Tuan Puteri Si Raksasa memberitahu bahawa ia tidak tahu di mana Dang Siti Noralam.Awang Kamaruddin menyedari Tuan Puteri Si Raksasa menipunya, lalu membunuhnya. Dang Siti Noralam dijumpai di dalam bangsi, Awang Kamaruddin menghidupkannya semula. Dang Siti Noralam masih marah kepada Awang Kamaruddin sehinggalah Awang Kamaruddin menggunakan ilmu penunduknya untuk melembutkan hati Dang Siti Noralam. Akhirnya mereka pulang ke Bukit Sinarubai.


Peristiwa-peristiwa penting:


1. Awang Kamaruddin meminta persetujuan Dang Kasuma dan isterinya untuk memperisterikan Dang Siti Noralam, tunang Awang Kamaruddin sejak kecil.
2. Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa mempersetujui keinginan Awang Kamaruddin.
3. Dang Kasuma mengarahkan Awang Abdul Mumin dan Awang Si Mutaram ke Bukit Surau meminang Dang Siti Noralam.
4. Dang Siti Noralam melarikan diri ke negeri Jawa, merajuk kerana dulu tidak disukai Awang Kamaruddin, dia meminta telan kepada Tuan Puteri Si Raksasa.
5. Awang Kamaruddin meminta Awang Sukaim dan Si Bujang Laila Bongsu menemaninya ke Jawa.
6. Awang Kamaruddin, Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa, Awang Sukaim dan Si Bujang Laila Bongsu sampai di rumah Anak Raja Betara Kala untuk bertemu Tuan Puteri Si Raksasa.
7. Tuan Puteri Si Raksasa menjelaskan bahawa ia tidak tahu ke mana Dang Siti Noralam pergi.
8. Awang Kamaruddin menyedari yang Tuan Puteri Si Raksasa menipunya lalu membunuh Tuan Puteri Si Raksasa.
9. Awang Kamaruddin berjaya menghidupkan semula Dang Siti Noralam yang dijumpainya di dalam bangsi, disembunyikan oleh Tuan Puteri Si Raksasa.
10. Dang Siti Noralam tidak menyukai Awang Kamaruddin.
11. Awang Kamaruddin menggunakan ilmu penunduknya sehingga Dang Siti Noralam menyukainya.
12. Awang Kamaruddin membawa Dang Siti Noralam pulang ke Bukit Sinarubai.


BAB 9: Mengambil Buah Pinang


Sinopsis


Bab 9 mengisahkan Awang Kamaruddin ingin mencari adik-beradiknya yang lain. Menurut Dang Kasuma, Awang Kamaruddin mempunyai dua orang adik lagi, adik lelaki bernama Sultan Bongsu dan adik perempuannya bernama Tuan Puteri Kumala Bongsu. Kedua-dua adiknya berada di dalam sebiji buah pinang bernama Pinang Si Gangga Wari yang tumbuh di tepi laut. Mereka dipertapakan oleh Lamang Labai, ayah mereka. Pertapaan itu kebetulan selesai hari itu juga. Awang Kamaruddin meminta keizinan dari Dang Kasuma untuk membuka pertapaan ayahnya dan membawa kedua-dua adiknya pulang ke Bukit sinarubai.


Peristiwa-peristiwa penting:


1. Awang Kamaruddin bertanya kepada bondanya kalau-kalau masih ada adiknya di negeri lain.
2. Dang Kasuma memberitahu bahawa masih ada adik Awang Kamaruddin yang bertapa di dalam buah Pinang Si Gangga Wari, ditapakan oleh ayahnya dan akan selesai hari itu jua.
3. Awang Kamaruddin meminta izin bondanya untuk pergi ke Pinang Si Gangga Wari di tepi laut.
4. Awang Kamaruddin memberitahu Dang Kumala tentang niatnya lalu dibuatkan bekalan.
5. Awang Kamaruddin menjadi Lalat Kuning terbang menuju Pinang Si Gangga Wari di tepi laut.


BAB 10: Membuka Tapaan


Sinopsis


Bab 10 mengisahkan Awang Kamaruddin yang berusaha membuka pertapaan adik-adiknya. Awang Kamaruddin berjaya menggunakan kepandaiannya untuk menyingkirkan kesaktian yang melindungi buah Pinang Si Gangga Wari, lalu dibawa pulang ke Bukit Sinarubai. Dengan menggunakan minyak Si Lompat Pagar, Awang Kamaruddin berjaya mengeluarkan kedua-dua adiknya. Mereka pun dimandikan dan diberikan persalinan lalu menghadap bonda mereka.


Peristiwa-peristiwa penting:


1. Awang Kamaruddin berjaya membuka kesaktian yang melindungi buah Pinang Si Gangga Wari lalu membawanya pulang ke Bukit Sinarubai.
2. Awang Kamaruddin membawa buah Pinang Si Gangga Wari ke peraduan Dang Kumala di Panggau Gading Sembilan Ringkat.
3. Awang Kamaruddin membuka pertapaan ayahnya menggunakan minyak Si Lompat Pagar.
4. Awang Kamaruddin memandikan adiknya, Sultan Bongsu & Tuan Puteri Kumala Bongsu dgn langir.
5. Awang Kamaruddin menyuruh adiknya, Sultan Bongsu dan Tuan Puteri Kumala Bongsu bersalin pakaian sebelum menghadap bonda mereka.


BAB 11: Naik Pengantin


Sinopsis


Bab 11 merupakan bab terakhir yang mengisahkan perkahwinan Awang Kamaruddin dengan Dang Siti Noralam. Majlis perkahwinan diadakan secara besar-besaran, segala hamba rakyat dijemput ke istana. Awang Kamaruddin dan Dang Siti Noralam disandingkan di Panggau Penganggunan dan ditapakkan oleh Raja Muda Indera Bongsu. Hidup bahagialah Awang Kamaruddin dengan kedua-dua isterinya. Masing-masing isterinya tinggal di panggau yang berlainan. Bersama Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa, Awang Kamaruddin mendapat anak lelaki bernama Awang Amir Shamsu. Raja Muda Indera Bongsu dan Dang Kumala juga mendapat anak perempuan bernama Dang Dara Daun Irik. Setelah berusia tua, Awang Kamaruddin bertapa di hulu Banjarmasin, Dang Kumala di kuala Sungai Baram.


Peristiwa-peristiwa penting:


1. Awang Kamaruddin memanggil seluruh rakyat berhimpun di Istana Besar di Bukit Sinarubai.
2. Awang Kamaruddin dan Dang Siti Noralam bersiap-siap untuk bersanding.
3. Awang Kamaruddin dan Dang Siti Noralam bersanding di Panggau Penganggunan.
4. Awang Kamaruddin hidup bahagia dengan kedua-dua isterinya.
5. Awang Kamaruddin bersama Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa mendapat anak lelaki bernama Awang Amir Shamshu.
6. Raja Muda Indera Bongsu bersama Dang Kumala mendapat anak perempuan bernama Dang Dara Daun Irik.
7. Awang Kamaruddin bertapa di danau di Hulu Banjarmasin.
8. Dang Kumala bertapa di sepohon Pulayi Manang di kuala Sungai Baram.

No comments:

Post a Comment